Friday, August 21, 2015

Peti #115 : Hidup Ini (Bahagian 1)

Assalamualaikum...
Jutaan terima kasih buat yang sudi membaca coretan aku. (Nak guna ganti nama 'aku' untuk entri kali ni. Tak apa kan?)

Dah lama benar aku tak update blog. Bukan sebab tak suka, cuma dah makin lupa, makin sibuk (atau hanya alasan), dan makin kurang rasa hendak bercerita.

Kerapkali sejak akhir-akhir ini aku bermimpi tentang ahli keluarga aku yang telah tiada. Al-fatihah.
Kerapkali sejak akhir-akhir ini, perasaan dan emosi aku sama seperti ketika zaman aku bujang, suka membaca bait-bait puitis, suka baca kisah hidup orang. Kemudian aku compare dengan hidup aku sendiri.

Tiada apa yang menarik untuk aku buat bahan entri kali ini.
Aku cuma teringin menulis tentang hidup aku. Mana tahu, Yussuf (anak sulung aku) terjumpa blog ni suatu hari nanti, boleh dia baca apa yang Uminya tulis. :-)

Aku dilahirkan dengan mak dan abah berpisah sejak aku kecil. Senang cerita, aku dan adik-beradik aku dibesarkan sepenuhnya oleh mak. Bila kerapkali bermimpi mengenai ahli keluarga aku yang telah tiada, aku akui sejak akhir-akhir ini aku kembali berfikir tentang kehidupan. Terutama yang lepas-lepas.

Dulu, masa aku kecil-kecil, aku manja dengan arwah abang aku. Bila dia bermain dengan anak jiran lelaki, aku kerap ikut dia bermain. Memang kami rapat, beza umur kami setahun aje. Bila masuk zaman sekolah aku dan dia suka melukis. Abang aku pandai melukis. Kami pernah masuk pertandingan melukis di daerah tempat tinggal kami, dan aku berjaya dapat no.1 dan abang pun dapat top 3 juga. Itu antara kenangan manis aku dan arwah abang. Kalau diminta melukis semula lakaran yang aku dan abang aku lukis semasa kami masuk pertandingan tu, memang aku masih ingat lagi. :-)

Aku dan abang nakal. Bukanlah nakal yang 'jahat'. Cuma pernah suatu waktu kami teringin beli makanan di kedai runcit berhampiran rumah. Seingat aku usia aku 5 tahun ketika itu. Akal budak-budak, ketika itu kalau kami minta duit dari mak dan nenek @ tok aku, memang payah nak dapat. Waktu tu, kami bukan senang. Nak dapatkan 10 sen waktu tu bukan senang, sanggup menyusup kuis-kuis tangan cari di bawah rumah (kalau rumah kayu) kot-kot ada duit terjatuh. Kalau duit dah berkarat dan hitam, kami gosok-gosok di lantai simen bagi nampak sikit 'nilai' duitnya. Maka pada waktu tu aku dan abang aku 'songlap' duit tabung kak long aku. Kami ambil seringgit seorang. Bila kak long dapat tau, dikejarnya kami sampai ke rumah jiran. Sweet sangat bila dikenang semula. Dulu kami susah. Kalau kanak-kanak lain boleh ke sekolah naik motor, mak ayah yang hantar, tapi kami pergi sendiri. Naik basikal. Seawal jam 6.45 pagi, kami dah mengayuh basikal ke sekolah. Jarak nak ke sekolah rasanya dalam 2-3KM juga. Kalau musim hujan, subuh-subuh lagi mak akan bangun bungkuskan beg sekolah kami dengan plastik beras. Mak takut beg sekolah kami basah kena air hujan. Kasut dan stokin sekolah mak bungkuskan dalam plastik. Dah sampai ke sekolah barulah pakai kasut sekolah. Allah, terkenang sungguh aku waktu-waktu dulu.

Dulu, duit belanja kami mak akan bungkus dalam sapu tangan. Sapu tangan kecil tu. 50 sen seorang.


(Bersambung...)