Tuesday, September 23, 2014

Peti #105 : Monolog


Andai kamu perempuan ATAU...

Ditakdirkan kamu laki-laki...

Moga kamu membesar dengan iman dah akhlak yang membahagiakan Allah, Rasul dan agamamu...

"Sebenarnya sayu juga.
Nak bergelar ibu tak lama lagi.
Dah bergelar ibu juga, cuma si anak belum lagi dapat membuka mata melihat dunia sahaja.

Nafas makin tersekat.
Jalan makin lambat.
Badan serasa berat.
Alhamdulillah dah genap 9 bulan mengandungkan si anak.

Rutin selepas ini pun memang akan banyak berubah.
Sekarang pun banyak fikir pasal si anak.
Untuk hari-hari mendatang.

Untuk 3 bulan nanti.
Mudah-mudahan urusan kerja yang terbengkalai nanti berjalan lancar.

Untuk proses bersalin nanti.
Sebagai ibu, saya tidak pentingkan jantina si anak.
Hanya minta banyak-banyak.
Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan dan selamat."

#35 weeks 6 days

Friday, September 12, 2014

Peti #104 : Checkup 34 minggu!

Lama benar menunggu seruan datang untuk update blog.
Sedar.
Sebab blog ni pun takde siapa pun yang baca. :-)

Al-kisah semalam rutin biasa checkup untuk minggu ke-34. Jumpa doktor untuk scan baby dan ambil darah untuk FBC dan HbA1C.

Alhamdulillah berat anak sudah 2.3 kg. Mengikut skala tumbesaran bayi yang normal. Hanya berat saya sudah mencanak-canak naik sejak akhir-akhir ni. Selera makan memang menjadi-jadi. Balik aje dari kerja memang wajib pekena burger daging yang dibuat oleh suami saya.

Sebelum berjumpa doktor, kena buat urine test. Kebiasaan sebelum ini sewaktu buat urine test, pembantu makmal perempuan yang akan bertugas. Kebetulan semalam pembantu makmal perempuan tu bercuti kahwin, jadi hanya pembantu makmal lelaki yang bertugas.

Pembantu makmal lelaki yang saya rasa umurnya layak dipanggil pakcik tu peramah juga orangnya. Saya beritahu dia yang  saya kena ambil darah untuk ujian FBC dan HbA1C sambil menyerahkan buku pink ke tangannya.

Dibelek-beleknya buku tersebut sambil mencari-cari keputusan ujian FBC dan HbA1C saya yang sebelum-sebelum ini. Katanya nanti saya kena datang semula ke makmal untuk ambil darah sambil matanya merenung-renung nombor-nombor yang tertera di atas kertas keputusan ujian tersebut.

Tidak semena-mena, dia bertanya adakah saya mengalami gangguan, susah tidur atau tidak selesa tinggal di tempat tinggal sekarang?

Katanya, melihat kepada nombor-nombor dari keputusan ujian darah saya sebelum ini, darah saya seperti tersekat-sekat. Senang cerita, pengaliran tidak lancar. Katanya mungkin saya ada insomnia (susah untuk tidur malam) atau mungkin kerap terjaga di tengah malam dan susah untuk tidur semula. Mungkin itu penyebab kepada pengaliran darah tidak lancar. Perbualan terhenti di situ.

Saya berjumpa doktor untuk checkup seperti biasa. Kemudian naik semula ke makmal untuk ambil darah.

Dia kemudian sambung bercerita dengan kisah seorang isteri yang kehilangan bayi yang dikandung selama 8 bulan secara tiba-tiba (ghaib). Hampir gila si suami mengenangkan anak yang dikandung isteri ghaib entah ke mana. Katanya, suami isteri tersebut kemudian berjumpa dengan dia untuk berubat. Alhamdulillah tidak lama selepas itu, si isteri mengandungkan anak kembar. Sepanjang bercerita, saya mengiyakan saja cakapnya. Ada benarnya. Perkara ghaib memang berlaku dan salah satu kekuasaan Yang Maha Esa.

Katanya, jika ada gangguan, insyaAllah boleh dia bantu. Pelawaannya saya biarkan tergantung.

Saya melangkah keluar dari makmal untuk menyerahkan keputusan FBC dan HbA1C kepada doktor di bangunan bawah.

ENTAH. Sambil-sambil berjalan...saya berfikir-fikir tentang pakcik itu dan kisah yang dia ceritakan.

'Bukankah tidur ibu mengandung memang kerap terganggu? Sakit-sakit badan, keletihan dan lain-lain simptom memang buat badan si ibu rasa tidak selesa. Nak-nak lagi di akhir kehamilan.'

Yang pelik, doktor dan misi tidak pernah menerangkan apa yang tersirat di sebalik nombor-nombor tersebut. Hanya mengatakan tidak perlu bimbang, keputusan saya NORMAL.

Wallahu'alam.

Wednesday, July 9, 2014

Peti #103 : Alahan dan Mengidam



Assalamualaikum.

Sebenarnya sengaja buat tajuk 'Alahan dan Mengidam' ni. Esok-esok bila nak recall semula pengalaman mengandung pertama kali, boleh refer kat gerobok ni aje.

Alahan dan Mengidam ni memang sinonimlah dengan ibu-ibu yang mengandung kan!

Sejak mengandung ni, saya tidaklah mengalami simptom mengidam yang kronik. Ok, diringkaskan mengikut kronologinya begini:-

Pada bulan pertama, selera makan saya masih macam biasa. Alahan dan muntah-muntah juga masih tiada waktu ni. Masa ni, saya ingatkan saya ni memang jenis yang tiada alahan. Syukur sangat rasa! :-)

Masuk bulan kedua, selera makan saya makin berkurang. Tekak semacam tiada rasa. Makan pun sebab lapar. Kalau ikutkan tiada apa pun yang selera masa ni. Saya tak boleh menghidu bau-bauan yang kuat. Bau bawang, bawang putih, sabun, bau-bauan di kedai makan dan bau-bauan yang kuat memang buatkan saya tak selesa dan akan muntah. Situasi ni berlarutan sehingga masuk bulan ketiga.

Sepanjang bulan pertama hingga ketiga, saya hanya berselera makan nasi dengan ikan pekasam di samping roti kosong Gardenia sahaja. Paling tak boleh blah ialah bau kari, tomyam dan masakan yang ada ayam dan sup. Padahal kari adalah salah satu makanan kegemaran saya juga. Hehehehe...

Boleh dikatakan sepanjang bulan pertama hingga ketiga ni, alahan saya memang tahap gaban juga. Masa ni memang saya kerap muntah. Bangun tidur muntah. Dekat ofis pun muntah. Bersedia dengan beg plastik sepanjang masa. Dalam kereta saya ada standby. Dalam kereta suami pun ada standby. Dalam handbag pun ada standby. Boleh kata, saya dan plastik beg memang tak boleh dipisahkan sepanjang tempoh 3 bulan ni.

Bila keluar dengan suami nak beli barang, saya rela duduk menunggu dalam kereta saja. Sebab bimbang masuk ke pasaraya nanti ter'bluek' saja kerjanya. Saya pula bukan jenis yang suka makan asam, tapi kena makan jugalah buah pelam dan makanan yang masam-masam bagi mengurangkan gejala muntah-muntah tu.

Masuk bulan keempat, saya masih mengalami alahan. Kemuncaknya saya dimasukkan ke wad kerana alahan dan kencing kotor.

Selepas keluar dari wad, masa tu kandungan kira-kira 4 bulan lebih, selera makan saya dah mula ok sedikit demi sedikit. Masa ni, saya memang teringin nak makan Char Kue Teow sahaja. Mengidam ke tu??? Mungkin lah. Suami lah yang menjadi mangsa kena tapau untuk saya. Boleh kata, dalam seminggu 3 - 4 saya akan makan Char Kue Teow. Mujurlah kedai makan yang jual Char Kue Teow tu dekat saja dengan rumah.

Sampai satu masa, saya dah tak lalu makan Char Kue Teow, masuk 5 bulan selera saya mula beralih ke Laksa Penang. Jadi, sekali lagi suami juga jadi mangsa suruhan membeli laksa untuk saya. Boleh dikatakan setiap petang selepas balik dari kerja, suami akan belikan laksa untuk saya. Murah juga, hanya RM1.50 sebungkus, dapat Laksa Penang yang mengenyangkan. Dalam 2 minggu juga saya kemaruk dengan Laksa Penang.

Sekarang, bila kandungan dah masuk 6 bulan lebih, tekak saya dah boleh terima makanan macam-macam. Cuma adakala terasa tawar di tekak bila makan sesetengah makanan. Alhamdulillah peringkat alahan saya tidaklah berlarutan. Peringkat mengidam juga tidaklah lama. Itulah, Allah tarik nikmat makan kita sekejap. Dengan badan yang tak larat, baru kita tahu kepayahan dan keperitan untuk menjadi seorang ibu.

Oh ye... tahun ni juga sambut puasa bersama suami buat pertama kali. Jadi setiap hari saya memasak. Mujurlah saya dah boleh masuk ke dapur untuk memasak dan menghidu macam-macam bauan. Saya pun tak masak yang susah-susah pun. Saya bukannya chef dan bukanlah pandai sangat memasak. Cuma cuba untuk mengikut selera makan suami saya. Alhamdulillah, dah jarang beli macam-macam makanan di Bazar Ramadhan. Setakat ni setiap kali ke Bazar Ramadhan tak pernah berbelanja lebih dari RM15.

Alhamdulillah, kandungan juga sihat dan membesar dengan baik. InsyaAllah, bulan Oktober mengikut perancangan Dia. Doa-doakan semoga dipermudahkan ye. Selamat berpuasa semua!


Tuesday, July 8, 2014

Peti #102 : Sebenarnya Cita-cita Saya...




Assalamualaikum. Salam 10 Ramadhan.

Sejujurnya makin hari makin tak tahu nak berblog tentang apa. Nak cerita apa, nak bagitahu apa, nak borak-borak pasal apa...

Bila puasa, perut pun ada rasa lapar semacam. Dah masuk tengahari, mata pun dah start menyetim pulak...heh!

Baiklah, nak cerita tentang cita-cita. Entah macam mana boleh tersangkut pasal cita-cita pula.

Sedari kita kecil, kita diajar untuk punya cita-cita. Pastinya cita-cita yang hebat dan menampakkan kita berjaya dan dipandang mulia. Bahkan sedari kita dalam rahim emak lagi, emak bapak kita dah ada angan-angan apa yang kita bakal jadi bila kita besar nanti.

Masa kita sekolah rendah seakan wajib cikgu akan tanya pasal cita-cita kita. Macam-macam jenis pekerjaan yang kita akan dengar dari rakan-rakan kita. Seingat saya, semasa kecil cita-cita saya memang kerap berubah. Bila ditanya kejap-kejap nak jadi Cikgu, nak jadi Doktor, nak jadi Saintis dan macam-macam lagi.

Masuk alam sekolah menengah, masih tak tetap pendirian lagi. Siap ada tambahan lagi koleksi cita-cita. Tertambah cita-cita menjadi Pelukis pula. Entah, sebab minat melukis kan...

Habis SPM, result saya tidaklah elok mana, tapi alhamdulillah bersyukur dengan cukup-cukup makan. Bila apply borang UPU, emak suruh saya mohon jurusan Pengurusan Maklumat sebagai pilihan pertama. Time tu, ikutkan aja pilihan emak.

Alhamdulillah, saya diterima belajar dengan jurusan pilihan pertama saya. Tiga tahun saya tamatkan Diploma. Sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah, saya memilih jurusan Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat.

Sebenarnya, bila dah masuk U, dah tidak terfikir pun soal cita-cita lagi. Cuma mahu struggle untuk pass exam (hahaha...ye sangatlah). Apa pun saya bersyukur, dengan jurusan pilihan emak, saya dapat juga merasa disenaraikan pelajar terbaik untuk diploma dan ijazah. Ini yang tak pernah saya dapat sewaktu di sekolah. Mungkin bila dah masuk U, jauh dari keluarga buat saya lebih tekad untuk belajar.

Dan akhirnya, inilah saya sekarang, seorang PUSTAKAWAN. Cita-cita inilah yang tak pernah saya terfikir atau mahukan langsung semasa saya kecil-kecil dulu.

Saya tak pernah dengar lagi anak-anak sekarang bercita-cita menjadi seorang PUSTAKAWAN. Mungkin kerjanya tak glamor, bunyinya agak pelik dan tidak cool bagi anak-anak sekarang. Persepsi seorang PUSTAKAWAN hanya mengecop buku. Itu saja.

Tapi setelah saya belajar dalam bidang ini, boleh saya katakan, PUSTAKAWAN kerjanya pelbagai. Boleh jadi anda akan menjadi kerani, akauntan, doktor, penyelidik, terlibat dengan customer service, marketing dan menjadi pemimpin.

Dan sebenarnya cita-cita saya adalah PELBAGAI = PUSTAKAWAN

Hehehehehe.....!



Tuesday, July 1, 2014

Peti #101 : Air Kotak Yeo's (lakaran)

Sebenarnya dah lama benar tak melakar.
Mood banyak berkurang.
SATU, sebab alahan. Tapi alhamdulillah sekarang dah ok, dah boleh masak-masak dan bau macam-macam.
KEDUA, sebab saya rasa saya sibuk menjadi isteri dan bakal ibu (huhuhu).
KETIGA, payah sikit nak cari feel yang tenang untuk melakar.

Jadi, inilah lakaran simple yang saya buat beberapa bulan lepas. Itupun atas kertas bergaris. NEXT?

Tak tahu lah bila...



Peti #100 : Resepi Puding Milo Oreo

Assalamualaikum dan Salam 3 Ramadhan.

Akhirnya...
Akhirnya sampai juga ke entri #100.

Minggu lepas, kat ofis ada buat makan-makan sempena nak menyambut bulan Ramadhan. Jadi kami buat potluck. Masing-masing bawa makanan dari rumah. Potluck ni hanya kami-kami je. Adik-adik ahli Kelab Pusat Sumber pun join jugak. Sambil berkenal-kenalan dan mengeratkan lagi ukhwah antara adik-adik ahli kelab dengan kami.

Saya cuma buat Puding Milo Oreo. Nak masak-masak yang susah ni saya tak berapa pandai. Jadi di sini saya sertakan resepi yang saya ambil dari blog Kak yatiememories. Alhamdulillah habis juga lah 'jualan' hari tu.





Okey! Jom kita berkongsi resepi! :-)


Bahan-bahan : ( Saiz: 8" persegi )

  • 1 bungkus @ 10g Jelly Powder - Serbuk Agar-Agar
  • 750ml Air
  • 160g Gula - Mas ikut Ayu 140g gula
  • 1 tin @ 400g Susu Cair
  • 3/4 cup Serbuk Milo
  • 1 bungkus (137g) Oreo Cookies - patah2kan tp biarkan sandwich 2 lapis.  
Nota : Saya tambahkan serbuk koko (dalam 2-3 sudu) untuk dapatkan warna lapisan coklat yang lebih gelap dan rasa coklat lebih pekat. Saya gunakan serbuk koko Dwi Makmur.


Cara-cara :
  1. Masak serbuk agar2 dan air sehingga larut.
    Masukkan gula dan masak sehingga gula larut.
    Masukkan susu, kacau sebati sehingga mendidih.
  2. Asingkan 2 cwn ke dlm periuk yg lain dan campurkan milo sehingga sebati.
  3. Tuangkan 1 cwn campuran milo ke dlm acuan.
    Panaskan campuran milo yg separuh lagi dgn api paling kecil supaya tidak membeku.
    Apabila permukaan nya mengeras sedikit, tuangkan kesemua adunan putih tadi.
    Taburkan biskut oreo.
    Apabila permukaan nya mengeras sedikit, tuangkan baki adunan milo tadi.
  4. Biarkan membeku di suhu bilik sebelum masukkan ke dlm petisejuk.

TIPS UNTUK MELAPIS:
  • Jangan tunggu sehingga lapisan membeku sepenuh nya sbb takut lapisan tidak melekat.
    Jika membeku semua, guris2kan permukaan dgn garfu sebelum tuangkan lapisan seterus nya.
  • Pastikan adunan masih panas apabila menuang ke atas lapisan sebelum nya supaya ia melekat dgn baik.
 
Selamat Mencuba!

#24weeks

Thursday, May 29, 2014

Peti #99 : Tiada tajuk

Assalamualaikum semua.

Lamanya saya tak berbelog. Sejak bergelar isteri dan bakal ibu (insyaAllah)... masa makin cemburu dengan kehidupan sekarang.

Cerita mengenai pengalaman 'berbadan dua' ni..sebenarnya seperti bakal-bakal ibu yang lain juga.
Untuk kali pertama ni, saya mengalami alahan yang agak teruk..sehingga terpaksa dimasukkan ke wad pada bulan ke-3.
Tapi alhamdulillah sejak 4 bulan lebih...selera makan dan tenaga pun dah semakin pulih.

Di sebalik tu juga ada rasa teruja sebab ramai kawan di pejabat dan kawan sekolah dan universiti yang menimang dan bakal menimang cahaya mata dalam tahun ni. :-)

Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah s.w.t....

#19weeks

Anak buah saya - 'HERO'


Wednesday, April 2, 2014

Peti #98 : Buku Pink

Blog makin terabai...
Alhamdulillah semalam selesai buat Buku Pink.
Mudah-mudahan sihat dan selamat semuanya.
Doakan saya ye.

Alahan teruk juga. tapi harus kuat dan tabah. hehehe...
Allah s.w.t menguji selama kita mampu menghadapinya.
Harus ingat tu!

#11weeks - moga kamu sihat dan baik-baik ye nak!

Tuesday, January 28, 2014

Peti #97 : Potret

Assalamualaikum.
Membuak-buak rindu melukis semula.
Kena upload sikit lukisan-lukisan lama.
Mana tau esok lusa boleh start melukis semula. :-)

Potret Nur Alya

Potret Ayu

Potret Imran

Potret Amalina

Potret Ruziana

 

Monday, January 27, 2014

Peti #96 : Rindu Mengisi Segenap Ruang


Menghampiri penghujung Januari.

Bulan kelahiran mak,
Bulan kelahiran arwah abang,
Bulan kelahiran suami,
Bulan kelahiran anak saudara dan sepupu,
Bulan kelahiran kawan-kawan.

Jatuh terduduk pada Januari.
Bicaranya sarat emosi.
Hari kelmarin ada sisa.
Melewati pusara 'dia'.
Menerpa 1000 satu kenangan.

Tak berkudrat bertentang mata.
Bimbang berjujuran air jernih.
Dalam hening pagi itu.
Masing-masing sibuk (atau ) setidaknya tidak mahu melayan perasaan.
Emak dari jauh.
Mencabut rumput membuang daun- daun kering.
Menggembur tanah dengan cangkul.
Menggenggam penyodok.

Januari bersilih ganti.
Benar semakin rasa kehilangan.
Masih hangat erat dakapan.
Masih rasa getar genggaman.
Kalaulah 'dia' masih ada.
Al-fatihah.

Rindu Makin Mengisi Segenap Ruang.
Mengundang Sendu Menyesak Dada.




Friday, January 24, 2014

Peti #95 : Jiwa baharu


Alhamdulillah.
Setelah menjadi isteri dan menantu.

Alhamdulillah.
Allah dan keluarga memberi restu.

Kali ini benar merasa jiwa baharu.
Memang menerusup terus ke qalbu.

* Terima kasih suami. Memberi kasih sayang dan baik benar. Alhamdulillah.