Tuesday, September 23, 2014

Peti #105 : Monolog


Andai kamu perempuan ATAU...

Ditakdirkan kamu laki-laki...

Moga kamu membesar dengan iman dah akhlak yang membahagiakan Allah, Rasul dan agamamu...

"Sebenarnya sayu juga.
Nak bergelar ibu tak lama lagi.
Dah bergelar ibu juga, cuma si anak belum lagi dapat membuka mata melihat dunia sahaja.

Nafas makin tersekat.
Jalan makin lambat.
Badan serasa berat.
Alhamdulillah dah genap 9 bulan mengandungkan si anak.

Rutin selepas ini pun memang akan banyak berubah.
Sekarang pun banyak fikir pasal si anak.
Untuk hari-hari mendatang.

Untuk 3 bulan nanti.
Mudah-mudahan urusan kerja yang terbengkalai nanti berjalan lancar.

Untuk proses bersalin nanti.
Sebagai ibu, saya tidak pentingkan jantina si anak.
Hanya minta banyak-banyak.
Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan dan selamat."

#35 weeks 6 days

Friday, September 12, 2014

Peti #104 : Checkup 34 minggu!

Lama benar menunggu seruan datang untuk update blog.
Sedar.
Sebab blog ni pun takde siapa pun yang baca. :-)

Al-kisah semalam rutin biasa checkup untuk minggu ke-34. Jumpa doktor untuk scan baby dan ambil darah untuk FBC dan HbA1C.

Alhamdulillah berat anak sudah 2.3 kg. Mengikut skala tumbesaran bayi yang normal. Hanya berat saya sudah mencanak-canak naik sejak akhir-akhir ni. Selera makan memang menjadi-jadi. Balik aje dari kerja memang wajib pekena burger daging yang dibuat oleh suami saya.

Sebelum berjumpa doktor, kena buat urine test. Kebiasaan sebelum ini sewaktu buat urine test, pembantu makmal perempuan yang akan bertugas. Kebetulan semalam pembantu makmal perempuan tu bercuti kahwin, jadi hanya pembantu makmal lelaki yang bertugas.

Pembantu makmal lelaki yang saya rasa umurnya layak dipanggil pakcik tu peramah juga orangnya. Saya beritahu dia yang  saya kena ambil darah untuk ujian FBC dan HbA1C sambil menyerahkan buku pink ke tangannya.

Dibelek-beleknya buku tersebut sambil mencari-cari keputusan ujian FBC dan HbA1C saya yang sebelum-sebelum ini. Katanya nanti saya kena datang semula ke makmal untuk ambil darah sambil matanya merenung-renung nombor-nombor yang tertera di atas kertas keputusan ujian tersebut.

Tidak semena-mena, dia bertanya adakah saya mengalami gangguan, susah tidur atau tidak selesa tinggal di tempat tinggal sekarang?

Katanya, melihat kepada nombor-nombor dari keputusan ujian darah saya sebelum ini, darah saya seperti tersekat-sekat. Senang cerita, pengaliran tidak lancar. Katanya mungkin saya ada insomnia (susah untuk tidur malam) atau mungkin kerap terjaga di tengah malam dan susah untuk tidur semula. Mungkin itu penyebab kepada pengaliran darah tidak lancar. Perbualan terhenti di situ.

Saya berjumpa doktor untuk checkup seperti biasa. Kemudian naik semula ke makmal untuk ambil darah.

Dia kemudian sambung bercerita dengan kisah seorang isteri yang kehilangan bayi yang dikandung selama 8 bulan secara tiba-tiba (ghaib). Hampir gila si suami mengenangkan anak yang dikandung isteri ghaib entah ke mana. Katanya, suami isteri tersebut kemudian berjumpa dengan dia untuk berubat. Alhamdulillah tidak lama selepas itu, si isteri mengandungkan anak kembar. Sepanjang bercerita, saya mengiyakan saja cakapnya. Ada benarnya. Perkara ghaib memang berlaku dan salah satu kekuasaan Yang Maha Esa.

Katanya, jika ada gangguan, insyaAllah boleh dia bantu. Pelawaannya saya biarkan tergantung.

Saya melangkah keluar dari makmal untuk menyerahkan keputusan FBC dan HbA1C kepada doktor di bangunan bawah.

ENTAH. Sambil-sambil berjalan...saya berfikir-fikir tentang pakcik itu dan kisah yang dia ceritakan.

'Bukankah tidur ibu mengandung memang kerap terganggu? Sakit-sakit badan, keletihan dan lain-lain simptom memang buat badan si ibu rasa tidak selesa. Nak-nak lagi di akhir kehamilan.'

Yang pelik, doktor dan misi tidak pernah menerangkan apa yang tersirat di sebalik nombor-nombor tersebut. Hanya mengatakan tidak perlu bimbang, keputusan saya NORMAL.

Wallahu'alam.