Wednesday, June 6, 2012

Peti #26 : Nikmat Alam

Assalamualaikum. Alhamdulillah saya sihat, bersyukur kerana diberi peluang meneruskan hidup hari ini, diberi nikmat percuma paling bermakna, menghirup udara dan gas oksigen saban masa. Saya mendoakan awak semua sihat dan sentiasa ceria, sentiasa tabah, sentiasa di bawah lindungan rahmat Penguasa Alam.

Pagi ini saya ditemani cuaca yang sangat baik, alhamdulillah. Saya sangat suka suasana pagi. Dalam pukul 7 pagi, saya suka tengok suasana di luar rumah. Matahari akan mula menjengah dengan cahaya suram di sebalik kabus putih yang memecah kedinginan pagi. Disulami kicauan burung-burung pagi terbang ke sana-sini memulakan hari, indahnya alam ini. 

Rutin harian Isnin hingga Jumaat adalah bertolak dari rumah ke tempat kerja pada jam 7 pagi. Di sepanjang perjalanan, saya suka menyapa dan memberi salam pada pohon-pohon merimbun hijau di tepi jalan, pada langit membiru lembut, pada burung-burung yang kadang-kadang hinggap di tepi jalan mengutip sisa makanan, pada bukit-bukau terbentang luas di sepanjang perjalanan ke tempat kerja, pada tanah subur yang mencengkam erat lantai bumi. Itu semua buat saya senyum dan kerap bercakap sorang-sorang dalam kereta. Serasa perasaan berborak dengan alam sangat-sangat-sangat istimewa.

Tiap kalinya saban malam, saat mahu memejam mata, serasa adakah nafas ini akan dapat saya hirup dan hembus esok pagi? Akan dapatkah melihat dan merasai semua ini?

Kerana pasti suatu hari nanti
saya akan rindukan pokok-pokok yang pernah menyapa perjalanan saya,
saya akan rindukan langit membiru yang tak pernah berhenti memayungi saya,
saya akan rindukan bukit-bukau yang pernah menjadi peneman perjalanan saya,
saya akan rindukan matahari yang mendongak bercahaya terang mega berkilau,
saya akan rindukan kicauan burung dan unggas yang menyanyi-nyanyi riang,
saya akan rindukan semuanya.

Terima kasih Allah...memberi nikmat semua ini.

Tuesday, June 5, 2012

Peti #25 : 10 Perkara Yang Akan Membuat Anda Bersyukur Kepada Allah S.W.T

Assalamualaikum. Semoga awak-awak sihat dan sentiasa di bawah rahmat-Nya. Sudah 2 minggu lebih saya tak tulis entri baru. Alhamdulillah masih diberi kesempatan menikmati hidup dan bernafas di muka bumi yang indah ini. Saya rasa seakan-akan tiada kekuatan dan kegagahan yang luar biasa untuk menulis entri baru sepanjang 2 minggu lepas. Biasalah, bila student  baru masuk, maka kakitangan pun sibuk, menyibuk, dan buat-buat sibuk sepanjang minggu orientasi.

Baiklah, saya nak petik sedikit perkongsian yang saya dapat dari laman web peribadirasulullah yang boleh kita sama-sama renung dan hayati perilaku, perbuatan, perangai kita sama ada keterlaluan terhadap insan atau perkara/ benda di sekeliling kita. 

Ini dia.....

10 Perkara Yang Akan Membuat Anda Bersyukur Kepada Allah S.W.T 

SATU : Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik, fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.


Jangan mudah marah dan keluarkan kata-kata sesat dan cacian kepada orang lain.

Lebih baik kita diam dari berkata sesuatu yang buat orang lain dan diri sendiri sakit hati

DUA : Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa, fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta di jalanan.

TIGA : Sebelum kita mengeluh bahawa keadaan kita teruk, fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan terburuk dalam hidupnya.

EMPAT : Sebelum kita mengeluh tentang isteri kita yang kerap berleter, fikirkan tentang orang yang tiada teman hidup dan sentiasa berdoa ditemukan jodoh mereka.


Sabar aje lah... :-)


Bersyukurlah anda masih mempunyai pasangan dan keluarga di sekeliling anda :-)

LIMA : Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita, fikirkan tentang seseorang yang sangat menginginkan zuriat tetapi dirinya mandul.

ENAM : Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak melakukan tugasnya, fikirkan tentang orang-orang yang tinggal di jalanan.

TUJUH : Saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan, fikirkan tentang pengangguran, orang-orang kelainan upaya yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

LAPAN : Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan, fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apa-apa pun untuk dimakan.


Anda : Menu tengah hari ini

Orang lain : Tiada menu pun untuk dijamah


SEMBILAN : Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain, ingatlah bahawa tiada seorang pun yang tidak berdosa.

SEPULUH : Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan, tersenyum dan berterima kasihlah kepada Allah kerana kita masih hidup! Alhamdulillah...:-)

Sekian. Assalamualaikum.


Sumber :  cintashizen