Wednesday, June 6, 2012

Peti #26 : Nikmat Alam

Assalamualaikum. Alhamdulillah saya sihat, bersyukur kerana diberi peluang meneruskan hidup hari ini, diberi nikmat percuma paling bermakna, menghirup udara dan gas oksigen saban masa. Saya mendoakan awak semua sihat dan sentiasa ceria, sentiasa tabah, sentiasa di bawah lindungan rahmat Penguasa Alam.

Pagi ini saya ditemani cuaca yang sangat baik, alhamdulillah. Saya sangat suka suasana pagi. Dalam pukul 7 pagi, saya suka tengok suasana di luar rumah. Matahari akan mula menjengah dengan cahaya suram di sebalik kabus putih yang memecah kedinginan pagi. Disulami kicauan burung-burung pagi terbang ke sana-sini memulakan hari, indahnya alam ini. 

Rutin harian Isnin hingga Jumaat adalah bertolak dari rumah ke tempat kerja pada jam 7 pagi. Di sepanjang perjalanan, saya suka menyapa dan memberi salam pada pohon-pohon merimbun hijau di tepi jalan, pada langit membiru lembut, pada burung-burung yang kadang-kadang hinggap di tepi jalan mengutip sisa makanan, pada bukit-bukau terbentang luas di sepanjang perjalanan ke tempat kerja, pada tanah subur yang mencengkam erat lantai bumi. Itu semua buat saya senyum dan kerap bercakap sorang-sorang dalam kereta. Serasa perasaan berborak dengan alam sangat-sangat-sangat istimewa.

Tiap kalinya saban malam, saat mahu memejam mata, serasa adakah nafas ini akan dapat saya hirup dan hembus esok pagi? Akan dapatkah melihat dan merasai semua ini?

Kerana pasti suatu hari nanti
saya akan rindukan pokok-pokok yang pernah menyapa perjalanan saya,
saya akan rindukan langit membiru yang tak pernah berhenti memayungi saya,
saya akan rindukan bukit-bukau yang pernah menjadi peneman perjalanan saya,
saya akan rindukan matahari yang mendongak bercahaya terang mega berkilau,
saya akan rindukan kicauan burung dan unggas yang menyanyi-nyanyi riang,
saya akan rindukan semuanya.

Terima kasih Allah...memberi nikmat semua ini.

2 comments:

  1. sebab tu kena kahwin. ada anak

    ReplyDelete
  2. insyaAllah...sama2 berusaha dan berdoa ditemukan jodoh yg terbaik ;-)

    ReplyDelete