Assalamualaikum. Salam Jumaat buat semua. Semoga awak semua dikurniakan kesihatan yang baik dan tambah bersemangat melaksanakan ibadah dan tugasan harian.
Saya orangnya cengeng. Saya orangnya sensitif. Saya orangnya mudah tersentuh. Saya orangnya penuh beremosi. Saya memang begini.
Haribulan ini, tapi di tahun lepas, saya bercuti bersebab. Insan yang mengandungkan saya dan memboyot perutnya selama 9 bulan 10 hari, insan yang dengan jerih payahnya membesar dan mendidik saya selama ini, insan yang tak pernah surut kasih sayangnya kepada saya, dialah emak saya. Tahun lepas, 8 Jun, emak saya menjalani pembedahan tulang belakang setelah terlibat kemalangan jalanraya pada 31 Mei 2011.
Serasa sejak emak mengalami kemalangan jalanraya, jiwa saya bermain dengan penuh emosi, sedih terutamanya, takut dan bimbang bercampur baur.
Seingat saya pagi itu (8 Jun 2011) hari Rabu, sedari saya bangun dari tidur, saya lihat kakak kedua saya sudah mahu bertolak, menjenguk emak di hospital. Saya masuk ke bilik abang saya, mencari-cari dia di sekitar rumah. Juga menjenguk ke rumah kakak sulung saya yang terletak di belakang rumah emak. Rupa-rupanya mereka (kakak sulung dan abang) telah terlebih dahulu ke Hospital Temerloh, melihat keadaan emak sebelum emak menjalani pembedahan pada jam 10 pagi. Saya pun cepat-cepat bersiap seadanya memandu ke hospital dan sampai di sana lebih kurang jam 10 pagi.
Malam sebelumnya, saya menegur abang kerana dia terlena di bilik kakak ketiga saya. Jadi saya minta dia bangun dan menyambung tidurnya di bilik dia. Saya sangat-sangat-sangat ingat pandangan terakhir abang saya kepada saya. Sejurus saya menegurnya, dia bingkas bangun dari tidur, duduk dan diam, terus memandang saya yang berdiri di muka pintu dari dalam bilik gelap itu. Namun tiada sepatah pun dia bersuara, cuma dia macam hairan, terpana, pandangannya ke arah saya, seperti kosong...
Berbalik kepada situasi pagi itu. Ketika saya sampai di hospital, saya tidak sempat bertemu emak kerana emak sudahpun berada di dalam dewan bedah. Saya terus menunggu di luar bilik bedah bersama kakak sulung, abang ipar, kakak kedua dan ayah saudara saya. Kakak ketiga saya terpaksa bekerja pada hari itu. Selama tempoh seminggu sejak emak kemalangan, kami adik-beradik mengambil cuti bergilir menjaga emak di hospital. Saya masih tidak bertemu abang di hospital pagi itu. Kakak sulung memaklumkan abang sudahpun berjumpa dengan emak sebelum emak masuk ke dewan bedah dan dia sempat bersarapan dengan kakak sulung saya selepas itu. Lepas bersarapan, terus abang pulang ke rumah.
Kami berbual-bual sambil menunggu emak selesai pembedahan di dewan bedah. Tiada mood untuk berborak sakan, kerana dalam hati masing-masing risau dengan keadaan emak di dalam bilik bedah. Alhamdulillah menjelang jam 1 tengah hari, emak selamat dibedah dan ditempatkan semula di wad biasa.
Sejurus itu, keadaan emak terlalu lemah akibat kesan ubat bius yang belum sepenuhnya hilang ditambah kesakitan di tempat pembedahan. Emak tidak sedar 100%. Jadi saya menunggu emak di hospital sehingga petang. Manakala ahli keluarga yang lain pulang ke rumah terlebih dahulu.
Petang itu, seperti biasa, kakak-kakak dan keluarga terdekat datang melawat emak di hospital. Jadi giliran saya pula pulang ke rumah, digantikan dengan kakak kedua menjaga emak di hospital. Sebelum tiba di rumah, dalam perjalanan saya sempat singgah membungkus nasi lemak untuk abang makan di rumah nanti. Namun, sesampainya di rumah maghrib itu, saya masih tidak bertemu dengan abang.
Malam itu selepas Isya', saya bersiap-siap untuk ke hospital menggantikan shift kakak kedua saya. Saya menjaga emak pada malam itu sehingga esok pagi. Sebelum bertolak saya sempat menjenguk ke rumah kakak sulung, bertanyakan di mana abang. Dia hanya menjawab abang mungkin keluar bertemu kawannya petang tadi dan belum pulang ke rumah.
Sesampai di hospital, bunyi sms kakak kedua mengiang di telefon nokia saya, memaklumkan supaya saya tidak terus naik ke wad di mana emak ditempatkan. Ini kerana abang saya dan dia sudahpun berada di sana. Peraturan di hospital ialah apabila di luar waktu melawat, hanya seorang penjaga/ahli keluarga dibenarkankan menjaga pesakit pada satu-satu masa.
Terus saya meletakkan kereta di parkir pelawat dan menuju ke ruang menonton TV di luar wad. Jam hampir 10 malam ketika itu. Setelah memaklumkan saya berada di ruang menonton TV, tidak lama kemudian kakak kedua datang kepada saya dan mengatakan, biarlah saya tunggu di situ sehingga abang saya pulang dahulu. Bila abang dah keluar dari wad itu, bolehlah saya masuk ke wad untuk menjaga emak kerana dikhuatiri terserempak dan ditegur oleh pengawal keselamatan meronda di dalam wad.
Jarum jam menunjukkan 11 malam, hampir sejam saya asyik berborak dengan kakak kedua. Sesekali kakak kedua menjenguk emak di katil wad bersama dengan abang. Sekitar jam 11.15 terus kakak kedua memaklumkan abang saya sudah pulang ke rumah. Sejurus itu juga, kakak kedua pun mengiringi abang pulang ke rumah. Tinggallah saya menjaga emak di hospital malam itu. Hari itu sehingga malamnya, saya tidak bertemu langsung dengan abang, baik di rumah, mahupun di hospital. Sewaktu masuk menggantikan shift kakak kedua, saya lihat di dinding sisi katil emak, ada tampalan Ayatul Kursi. Kata emak, abang yang menampalnya sebentar tadi. Malam itu saya tidur-tidur ayam di sisi emak dengan hati bercampur baur melihat emak menahan kesakitan.
Keesokan paginya, 9 Jun 2011 (Khamis) ketika azan subuh, saya bangun, mandi di tandas hospital dan bersiap-siap seadanya untuk terus memandu ke tempat kerja. Selepas menguruskan serba-sedikit keperluan emak dan mengucup tangan dan wajah lesu emak, saya turun ke tingkat bawah terus menuju ke kawasan parkir. Sebelum itu saya sempat menghantar sms kepada kakak sulung supaya cepat-cepat ke hospital menggantikan saya untuk menjaga emak pula.
Saya jalan cepat-cepat masuk ke dalam kereta, memanaskan enjin 2 3 minit begitu lebih kurang, melihat wajah di cermin. Tiba-tiba deringan telefon di dalam beg tangan minta dijawab membuat hati saya berdebar-debar. Terpampang nama kakak sulung saya di skrin telefon. Saya ambil. Saya angkat. Saya jawab salam dari dia.
"Adikkkk....istighfar ye...banyakkan bersabar. Muhammad dikhuatiri lemas di Sungai Pahang subuh tadi. Tidak confirm lagi. Baru sekejap tadi polis ada telefon Ayah De, mengatakan ada kereta Muhammad diparkir berhampiran sungai. Ada saksi nampak seorang lelaki keluar dari kereta tu, seperti nak ambil wudhu. 5 minit kemudian, dia terdengar jeritan dari tengah sungai. "Allah...Allah...Allah...." Saksi itu tak sempat buat apa-apa kerana air sungai naik, dan waktu itu mangsa dah berada di tengah sungai. Ada sepasang selipar dikhuatiri milik Muhammad di gigi air sungai." Itulah bait kata-kata kakak sulung yang saya masih ingat hingga ke hari ini.
Saya redha. Perlahan saya letak telefon. Terbayang wajah abang. Wajah emak. Wajah adik-beradik. Silih berganti. Menahan perasaan. Menahan segala rasa. Menahan segala prasangka buruk. Tidak mahu berfikir. Terus saya gagahkan diri mencari kekuatan memandu keluar dari kawasan parkir hospital. Terus memandu pulang. Terus mendapatkan kakak.
Air mata tumpah laju-laju. Tidak pernah sederas itu.
Sudah setahun esok. Iteh meninggalkan kami. Allah, tempatkan dia bersama orang-orang beriman.
Al-fatihah...buat satu-satunya abang saya dunia akhirat, Muhammad Firdaus...
|
Buat kamu |