Tuesday, July 31, 2012

Peti #45 : Hujan + Syampu

Syok! (Sumber : Instagram sepupu)
Masa kecik-kecik, bila tau je hujan (especially hujan lebat) cepat-cepat ambil beg plastik besar, potong melengkung muat-muat untuk masukkan peha. Tanggal baju, tanggal seluar, maka pakailah plastik yang dah digunting tadi, jadilah bikini seksi. Sesuai dipakai tatkala mandi hujan di depan halaman rumah. Untuk lebih syok, ambil syampu dan mandilah air hujan seperti biasa bersama adik-beradik, kengkawan, atau anak jiran sebelah rumah. :-)

[Bikini plastik ini sesuai dipakai untuk kanak-kanak bawah 10 tahun je kot]

[Mode : Layan lagu kat radio, malas nak cite panjang2...hahaha]

Peti #44 : Biji Getah












[Mode : Menyiapkan lakaran dulu, baru taip cite pasal ni]

Peti #43 : Coklat Cincin















[Mode : Menyiapkan lakaran dulu, baru nak taip cite pasal ni]

Peti #42 : Terkenang

Terkenang yang jauh...
Terpisah benua...
Terpisah negara...
Terpisah

Terkenang yang jauh...
Tak pernah ketemu...
Tak pernah bersua...

Terkenang yang jauh...
Akankah ketemu...
Akankah bersua...

Jodoh pertemuan dalam genggaman Dia...
InsyaAllah diizinkan-Nya...
Kita bertemu..kita bersua...

Biarpun tidak di alam nyata...
Robbul Izzati...
Sampaikan angin bayu...
Dari kejauhan ini...
Selamat berpuasa buat si dia di sana...

Dan...moga baik-baik saja...

Thursday, July 26, 2012

Peti #41 : Tiga Puluh???

Kenapa dengan kau ni???



[Mode : tengah layan lagu Sungai Lui - Aizat]

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam khamis. Awak-awak sihat? Awak-awak dah mandi? Awak-awak tengah curi tulang sambil-sambil online kat opis ke? Awak-awak tengah buat list menu nak berbuka apa hari ni ke? Awak-awak tengah sorok-sorok makan biskut sebab cuti puasa (datang bulan) ke? 

Ke awak-awak macam saya? Tengah fikir soal hidup, soal masa lalu dan masa depan?

Pejamkan... matamu... untukku..., biarkan dunia... berkata-kata. Masalahnya hari-hari pejam-pejam-pejam, lama-lama pun dunia tak berkata apa-apa. Puitis sungguh lirik lagu Aizat yang satu ni. 

Kartun kat atas tu sebenarnya intro kepada perasaan berdebar-debar. Bukan hanya baru sekarang rasa berdebar-debar. Dulu perasaan masa nak ambil result SPM pun berdebar-debar. Masa nak masuk universiti dan pertama kali kena duduk berjauhan dari keluarga dan stay kat asrama pun berdebar-debar. Masa mula-mula masuk alam pekerjaan pun berdebar-debar. Masa pertama kali kena jadi host pun berdebar-debar jugak. Ala, banyak sangatlah saat yang mendebar-debar dalam hidup ni kan!

Bila fikir punya fikir, dah nak cecah angka TIGA PULUH dah. Alahai, risau sangat dengan keadaan diri sendiri. Hei....!!! of course risau dan berdebar-debar. Nak masuk TIGA PULUH ni (yang penting bukan tahun ni atau tahun depan), ada sedikit tahun saja lagi melangkah ke alam TIGA PULUH.

Checklist TIGA PULUH (inilah yang buat hati ni berdebar-debar) dibandingkan dengan orang-orang di sekeliling adalah seperti berikut:-

1. Hidup berpasangan macam Uda dan Dara
Uda dan Dara adalah dua pasangan yang serasi. Jadi eloklah dikahwinkan saja bila dah rasa serasi. InsyaAllah akan ke arah itu. Dua orang kakak saya telah berkahwin sebelum TIGA PULUH. Kawan-kawan di zaman sekolah dan universiti dah ramai yang kahwin. Dah ramai ada anak. Bila buka satu-satu profile kawan dalam facebook, mesti ter'klik' Photo Album. Mesti tertengoklah satu-persatu gambar kahwin orang lain, mesti tertengoklah satu-persatu gambar anak orang lain. Jadi bilakah diri ini akan menamatkan zaman bujang? Adakah tahun ni, atau bayang-bayang masih samar? Cuma target dah letak tahun depan. Allah, makbulkan cita-cita dan hasrat murni ini. :-)

2. Mempunyai junior sendiri
Oh, tadi bila dah tertengok gambar anak kawan-kawan dalam facebook, mestilah teruja ingin mempunyai junior sendiri. Dah kerap sangat berangan nak letak nama anak sendiri (Yusuf, Sumayyah, Aisyah, Thariq..emm..emmm...emmmm...). Dah makin kerap godek-godek dalam Google nama-nama bayi Islam pilihan. Dah banyak kali cakap dengan orang-orang sekeliling yang saya nak anak seramai mungkin. Adakah impian ini bakal tercapai sebelum TIGA PULUH? InsyaAllah...

3. Mempunyai rumah tempat berteduh
Rumahku syurgaku, baiti jannati. Saya inginkan paling tidak sebuah 'syurga dunia'. Nak deko sendiri rumah impian. Nak tengok junior sendiri bermain-main dan tidurkan junior sendiri dalam rumah sendiri. Tengok kakak-kakak yang ada rumah sendiri dan menguruskan isi rumah sendiri, terasa ingin seperti itu, walaupun hakikatnya penat dan lelah saban hari. InsyaAllah dah kahwin akan merancang untuk memiliki aset ini. :-)

4. Memiliki aset dan simpanan yang kukuh
Aset yang besar-besar, yang ada nilai macam kereta, barang kemas dll. Aset yang boleh dilabur untuk kegunaan masa sesak / masa akan datang macam duit berkepuk-kepuk dalam bank. Alhamdulillah ada peneman sebiji kereta (Si Putih) untuk kemudahan bergerak ke mana-mana. Duit? InsyaAllah kumpul sikit2, lama-lama jadi setinggi Gunung Kinabalu. :-)

Sekian. Assalamualaikum.

Thursday, July 19, 2012

Peti #39 : Pucat = Natural

Assalamualaikum. Salam khamis. Dah sarapan? Dah mandi? Sihat? Harap-harap semuanya baik-baik aje la ye.

Teringat 2 3 hari lepas seseorang menegur saya, "Kenapa pakai make-up? Sebab nak nampak cantik ke? Nak tunjuk cantik tu kat sapa? Nanti dah selalu make-up, muka takde seri." Oh ok.

Sebenarnya ada 2 golongan perempuan. Ini hanya pendapat saya yang mungkin khilaf, tak semestinya awak kena terima.

PERTAMA ialah perempuan yang semulajadi cantik, tak perlu berbedak muka dengan ketebalan empat puloh inci, ber'lipstick' menyala merah bata dan ber'smokey eyeshadow' bagai. Biasanya perempuan sebegini mempunyai kompleksi (complexion) kulit yang cantik, bebas dari jerawat dan kulit berminyak dan memiliki kulit cerah. Alhamdulillah kurniaan Allah sebegitu pada mereka-mereka ini.

KEDUA ialah perempuan yang merasakan mereka terpaksa menutup kecelaan wajah dengan make-up. Mungkin disebabkan ada masalah kulit terutamanya jerawat, kulit berminyak dsb. 

Saya rasa saya termasuk dalam golongan KEDUA tu. Saya sendiri, kulit saya tidaklah cerah, agak gelap dan satu yang ketara ialah saya mempunyai lingkaran hitam di bawah mata yang ketara. Saya tidak begitu peka sejak bila lingkaran ni menjadi begitu jelas di mata, mungkin sedari zaman sekolah saya terbiasa tidur lewat. Maka, lingkaran tu semakin jelas kelihatan. Sampaikan di zaman universiti dulu pun, saya biasa tidur lewat. Bila musim exam, ada masanya saya tidak tidur hingga ke pagi mengulangkaji pelajaran. Adik-adik semua jangan amalkan tidur lewat. Nanti mata jadi sembab dan badan pun tak sihat.

Saya memang suka bermake-up dan mempunyai alat solek asas serba sederhana. Terkini saya ada  foundation (bedak asas), bedak debu (muka), lipstick, lipgloss, lipbalm, eyeshadow, blusher, maskara, eyebrow liner dan paling wajib bagi saya ialah eye liner.

Dulu semasa mula-mula menerjah alam pekerjaan, dengan rupa dan penampilan yang agak naif, saya pernah ditegur dan disarankan oleh rakan-rakan sekerja supaya menyerikan muka dengan make-up. Sebab kata mereka muka saya nampak pucat. Ada yang ok saja, kata mereka itu natural. Lama-kelamaan saya rasa teruja melihat akak-akak di tempat kerja yang cantik bergaya ditambah dengan solekan di wajah. Saya pun gunakan duit gaji yang ada membeli alat solek dan merasa lebih yakin bila memakai make-up.

Hakikatnya bila anda memakai make-up untuk ke tempat kerja, paling-paling pun anda perlukan 10 minit untuk bersolek, atau paling express 5 minit untuk bersolek tipis seperti mengenakan sapuan bedak, sedikit eyeshadow pada mata dan secalit lipstick di bibir. Dulu saya memerlukan lebih kurang 10-15 minit bersiap hanya untuk menyolek muka.

Hari demi hari, betapa banyak masa saya dihabiskan untuk bersolek. Bayangkan apabila pagi, bersolek sudah memakan masa 10 minit. Untuk solat Zohor, sesi mencuci make-up dan muka juga memakan masa 5 minit. Kemudian selepas solat Zohor, ambil masa 15 minit lagi untuk bersolek dan memakai tudung. Puratanya lebih kurang sejam saya ambil dalam sehari (atau mungkin lebih) hanya untuk bersolek dan mencuci muka. Hahahaaa..sampai begitu sekali.

Sekarang, saya semakin sedar bahawa saya harus berbuat sesuatu dengan keadaan yang semakin tak terkawal ni. Tapi saya tidak mahu lagi dicop sebagai muka pucat dan orang sakit apabila tidak mengenakan make-up. Sejujurnya bagi saya, agak leceh mengenakan make-up setiap kali hendak ke pejabat atau keluar bershopping atau keluar berjalan-jalan.

Sekarang juga, saya dah semakin mengurangkan pemakaian make-up, pakai tu pakai, namun sekadar solekan tipis, tidaklah nampak seperti opera cina lagi. Secalit lipstick cukup sekadar menutup pucat  di bibir, sapuan bedak muka pun tipis, pemakaian eye liner pun tidaklah seperti minah arab atau bollywood lagi. Oh ya, lagipun tabbaruj berlebihan dalam Islam tidak digalakkan, bersederhanalah dan yakin dengan rupa anda. Itu yang penting. Kalau seseorang tu dah suka kat kita, bukan hanya dia suka bila kita dalam keadaan bersolek rapi  aje kan. Saya menyeru kepada diri saya sendiri, yakin dengan rupa yang natural. Make-up nipis-nipis pun oklah, janji tidaklah dilihat pucat sangat dan janji tidaklah terlalu berlebihan. :-)

Sekian. Assalamualaikum.




Wednesday, July 18, 2012

Peti #38 : Ramadhan Kareem

Assalamualaikum. Awak semua apa khabar? Mudah-mudahan sentiasa sihat dan dilimpahi rahmat-Nya. Oh ya, bulan Ramadhan akan menjelang 2 3 hari je lagi. Esok dah nak tengok anak bulan. Alhamdulillah diberi nikmat menjalani sekali lagi puasa di bulan 1000 rahmat ni. Rasa cam nak buat satu projek sempena bulan penuh barakah ni.  Tapi...tengah fikir-fikir nak buat projek apa?

Seriously, rasanya macam lama sangat tak melukis potret. Tiba-tiba teringin melayan perasaan sambil melukis potret. Biasanya kalau buat kartun @ doodle, tak boleh nak feeling lebih-lebih. Projek melukis potret barangkali? Hm, tak pun memang luar dari skop melukis. Tengok la dulu macamna. Ala, kata nak buat projek itulah, projek inilah, canang-mencanang bagai, tapi lastly sekadar untuk kepuasan diri sendiri aje kan....atau paling hampeh, tak jadi satu apa pun...(heh).

Dari saya

Di bawah ini ada saya selitkan PETIKAN MENGENAI PUASA DAN AMALAN yang perlu diamalkan bersama. Ini untuk saya kongsi bersama awak semua. Yang ini saya dah tambah-tambah ayat n saya copy paste dari SINI dan SINI. Selain daripada solat sunat tarawikh yang khusus pada bulan Ramadhan ni, antara amalan yang perlu diamalkan oleh kita ialah:-


1. Bersahur di akhir malam.
Ingat, kalau kita nak berpuasa keesokan hari, mestilah kena bersahur. Yang terbaik ialah bersahur di akhir malam, waktunya ialah jarak bacaan 50 ayat Al-Quran (dibaca sederhana) dari azan subuh.
Dari Amru al-As r.a., Nabi SAW bersabda: "Perbezaan diantara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Hadis Riwayat Muslim)
Anas bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda, "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya"(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


2. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran
Biasanya, bila bulan puasa, selepas selesai je sunat tarawikh, akan ada tadarrus Al-Quran. Yang paling baik ialah dapat khatam 30 juzuk Al-Quran. Tahun lepas sewaktu dengar tazkirah, ada seorang ustaz kat sini ada ajarkan dan beri formula berapa ayat Al-Quran yang kita kena baca setiap hari untukkan khatamkan 30 juzuk dalam masa sebulan berpuasa. (Nanti saya tuliskan catatan tu dalam ni ye)
Dari Ibnu Abbas r.a., "Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadan apatah lagi apabila setelah bertemu Jibrail. Biasanya Jibrail menemuinya setiap malam dibulan Ramadan. Dia mengajaknya untuk bertadarrus al-Qur'an. Sesungguhnya Rasulullah lebih pemurah dalam melakukan amalan kebaikan melebihi tiupan angin." (Riwayat Al-Bukhari)


3. Memperbanyakkan doa semasa berpuasa
Kita sebagai umat Nabi Muhammad, pergantungan kita hanyalah pada Allah s.w.t. Doa tu senjata orang mukmin. Kan dalam Islam ada waktu-waktu mustajab untuk berdoa. Antaranya semasa kita berpuasa, berdoalah semahu-mahunya, insyaAllah Allah dengar dan terima doa kita.
Nabi SAW bersabda, "Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang." (Riwayat Al-Bazzar)
Nabi SAW bersabda, "Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi."(Riwayat At-Tirmidzi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah)


4. Menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktu Maghrib
Sebaik-baiknya bila dah azan maghrib tu, kita berbuka la. Nak kejar solat fardhu pun, paling tidak jamahlah sedikit makanan sebelum bersolat. Lagi bagus kalau kita amalkan sunah berbuka puasa terlebih dahulu dengan beberapa biji rutab (kurma basah) atau tamar (kurma kering) dan segelas air. Tapi macam saya, jangan kata orang lain lah, bila waktu berbuka mesti cari air dulu, lepas tu kurma dan nasi. Bila dah kenyang, barulah badan rasa berat nak solat maghrib, hm..tak patut betul kan.
Dari Sahli bin Saad r.a., Nabi SAW bersabda, "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka." (Riwayat Al-Bukhari)


5. Memperbanyakkan ibadah malam pada 10 malam terakhir Ramadhan
Selain daripada solat sunat tarawikh dan solat sunat witir, bila dah bangun sahur, jangan lupa untuk solat malam (solat sunat tahajud).
"Sesungguhnya Nabi s.a.w manakala telah memasuki 10 hari terakhir di bulan Ramadan, baginda selalu melakukan solat malam, dan membangunkan ahli keluarganya untuk beribadah bersama." (Riwayat Bukhari & Muslim)


6. Memperbanyakkan sedekah
Seakan sangat sinonim bulan Ramadhan adalah bulan bersedekah. Sedekah ni ada macam-macam bentuk. Ada sesetengah pihak akan bersedekah pada anak-anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan. Tidak kira sedekah apa-apapun. Harta, makanan, pakaian atau apa sahaja. Jika tidak mampu, berilah senyuman kerana ia adalah sedekah yang paling ringan. Yang penting niat kita dan ikhlas itu hanya dalam pengetahuan Allah.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani, Nabi SAW bersabda,"Barangsiapa yang memberi juadah berbuka puasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun." (Riwayat At-Tirmidzi)

Sumber : bicarapelajar.blogspot.com

Ada banyak lagi amalan yang kita boleh amalkan di bulan puasa ni, dan tidak semestinya hanya di bulan puasa. Bersedekah tidak semestinya hanya dalam bulan puasa, memperbanyakkan doa pun haruslah sentiasa kan.

Akhir kalam dari saya, selamat menjalani ibadah puasa pada awak semua dan pada saya juga. Kawallah nafsu kita, walaupun syaitan sudah terikat. Selamat berbelanja dengan berhemah. :-)

Sekian. Assalamualaikum.


Peti #37 : Wordless Wednesday (#1) - Anak Solehah

Semoga menjadi insan yang solehah :-)


Thursday, July 12, 2012

Peti #36 : Libur di Sabah

[Peti ini super duper panjang]
Assalamualaikum. Selamat petang. Saya tiada idea untuk tulis entry apa semenjak dua menjak ni. Risau sebab dah pertengahan bulan tujuh, tapi baru ada satu entri. Maka terus-terang hari ni hanya nak bercerita serba-sedikit dan berkongsi gambar waktu liburan di Sabah 2 minggu lepas. Diingatkan liburan ini tak pergi banyak tempat, memandangkan ada budak kecik turut serta, pergerakan ke mana-mana destinasi agak terbatas.

Rombongan kali ini agak ramai, seramai 15 orang (suppose 16 orang, tetapi emak saudara saya tidak dapat join kerana ada masalah peribadi). Yang join ialah famili saya dan famili mertua kakak no.1. Bolehlah gelarkan rombongan kami 'Rombongan Cik Kiah'. Perjalanan kami bermula dari Temerloh dengan 3 buah kereta, Si Putih saya, kereta kakak no.1 dan kereta Nurul, adik ipar kakak no.1. Kami bertolak ke KL untuk bermalam di sana sebelum berlepas flight ke Kota Kinabalu, Sabah pada keesokan paginya.


[Hari Sebelumnya - Petang Jumaat]

Bertolak dari Temerloh, selepas Asar petang jumaat. Semuanya ok hinggalah sampai di Tol Gombak. Oleh kerana tiada siapa antara kami ingat jalan nak ke rumah salah seorang kakak sy, maka dia akan datang menjemput kami di Tol Gombak. Setelah hampir sejam menunggu sampai dah bermisai-misai, berjanggut-janggut, berjambang-jambang, sampai badan masing-masing dah melekit-lekit bau masam campur air hujan, barulah kelibat dia muncul.

Masa tu KL tengah jam (biasalah semua orang keluar pejabat), dalam pukul 6.30 petang. Oleh kerana sakit terseliuh di kaki saya masih belum baik, saya minta kakak no.3 drive untuk perjalanan seterusnya ke rumah kakak no.2. Dalam tergesa-gesa nak keluar dari parking dari Tol Gombak tu, kereta kakak no.1, kakak no.2 dan Nurul tiba-tiba dah hilang dari pandangan kami, sedangkan Si Putih saya masih belum bergerak kerana dihalang oleh sebuah kereta yang tiba-tiba datang dari arah belakang. Kereta tu dah la macam menjengkelkan, entah nak masuk parking ke entah nak jalan terus ke. Tu yang buat kakak no.3 confused masa nak keluar dari parking. Maka bila hal sedemikian terjadi, terkocoh-kocohlah kakak no.3 menekan pedal minyak slow-slow keluar dari parking sambil saya memandang-mandang dalam ratusan kereta di hadapan kami mengecam di mana kereta kakak no.1, kakak no.2 atau pun Nurul.

Bila dah agak-agak rasa putus asa, kami pun dail la nombor kakak no.2, sebab dah lost dan salah masuk simpang (huhuhu, gelakkan diri sendiri dan gelakkan pada orang yang drive tu). Al-kisahnya, terpaksalah Si Putih buat u-turn, keluar dan masuk ke Tol Gombak. Hampir jam 10 malam, barulah kami sampai ke destinasi. Perjalanan memang agak meletihkan. Kalaulah tahu, lebih afdal bertolak dari Temerloh tengah malam, time tu jalan KL lengang sikit. Maka bermalamlah kami di KL pada malam tu.


[Hari 1 - Sabtu : Kuala Lumpur - Kota Kinabalu]

Keesokan paginya, jam 4 pagi, mata ni sudah celik. Tak tidur lena sangat, biasalah kalau tidur di tempat baru, malam pertama memang tak dapat tidur lena. Memang macam tu. Kami semua bersiap-siap dan pukul 5.15 pagi, kami bertolak ke LCCT walaupun flight kami hanyalah pada pukul 10.20 pagi. Kalut semacam aje, bukan apa, bila bawa Rombongan Cik Kiah ni, kena setkan masa betul2. Lagipun ada 5 orang askar kecil turut serta, jadi bila ada budak kecik ni, fahamlah ragamnya macam mana kan. :-)

Sambil menunggu di LCCT, memang kawalan orang dewasa seramai 10 orang nak mengawal 5 orang budak kecik pun rasa macam tak cukup tangan, kaki dan mulut. Al-maklumlah diorang tu masing-masing tak pernah naik flight, sampai kat airport, memang berlari-lari macam main kat taman permainan. Yang saya pelik bin hairan, anak orang lain hanya perhatikan aje gelagat anak-anak saudara saya berlari-lari macam anak ayam main kejar-kejar dengan anak musang. Hehehe...

Ragam di LCCT

Ok, sekarang cerita naik dan dalam flight, bila check in semua tiada masalah. Naik je flight, ketua pramugara kata "Wah, tu dia...Rombongan Cik Kiah kau!" Terus kami ketawa sama-sama. Anak saudara saya semuanya baik-baik duduk diam-tak-diam-sangat-laaa dalam flight, cuma tidaklah seaktif semasa di airport tadi. Semuanya masing-masing nak makan mee segera, masing-masing ulang-alik ke tandas, dan sempat jugalah diorang tidur dalam perjalanan 2 jam setengah tu. Sebenarnya flight tu hanya bergerak pukul 10.40 pagi, lewat sedikit kerana cuaca tidak begitu baik pagi tu.



Sesampainya di Kota Kinabalu International Airport (KKIA) kira-kira pukul 1 tengah hari, kami menunggu kereta sewa yang telah ditempah lebih awal oleh kakak no.2 saya. Untuk isi muatan seramai 15 orang, beserta beberapa luggages dan sebuah stroller, kami menyewa dua buah Avanza. Seperti dirancang oleh penyewa lebih awal, diberinya kami Avanza transmisi auto warna putih dan hitam seperti menyambut kedatangan kami dari Pahang. Terus kami dibawa ke Marina Court yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari KKIA. Kami menginap di sana dengan menyewa sebuah apartmen 3 bilik yang sangat selesa. Ada 2 bilik air, 1 tandas, TV dilengkapi siaran Astro, dapur dengan pinggan mangkuk dan peti sejuk, mesin basuh, sofa yang empuk + perabot rumah dan air conditioned. Memang puas hati. Next time kalau ke KK beramai-ramai lagi, mungkin menginap lagi di sini.

Sesampainya di tempat menginap, anak-anak saudara saya buka baju, terus berendam di dalam tab mandi. Al-maklumlah kalau di rumah kami semua tiada tab mandi, yang ada hanyalah pancuran air, kolah air ataupun paip air di luar rumah. Kalau diorang mandi dalam kolah air, alamatnya bisinglah satu rumah.

Selipar pun jadi...

Setelah solat jamak dan bersiap seadanya, kami keluar beramai-ramai untuk makan tengah hari. Pusing-pusing di bandar KK, akhirnya kami makan tengahari merangkap petang di Restoran-Saya-Dah-Lupa-Nama-Restoran-Tu, hentam ajelah Restoran Melayu + Mamak..huhu. Pukul 3.30 petang, jangan kau nak expect sangatlah banyak menu berlauk, jadi kami dengan perut lapar ni makan ajelah apa yang ada, kebanyakan yang tinggal lauk berkari dan sempatlah saya merasa petola goreng tepung, alhamdulillah sedap juga.

Selepas tu, kami pusing-pusing sekitar bandar KK dan singgah ke Pasar Filipina. Saya terus cari fridge magnet kerana kegilaan saya dan kakak sekarang ialah mengumpul fridge magnet. Selepas melabur sedikit duit kat pasar tu, adalah hasil rembatan buah tangan yang kami dapat seperti key chain, gelang mutiara, kerongsang, pengetip kuku, kain batik, kuih cincin dll. Rasanya kalau  kau tak beli mutiara Sabah bila datang ke Sabah, jadilah macam kau pergi Sabah tapi kau macam tak pergi Sabah. (hahaha)

Petang itu, selepas ke Pasar Filipina, kami singgah di Pasar Malam. Di tepi-tepi jalan air laut dan banyak bot-bot nelayan dan jeti. Ada banyak gerai yang awak boleh lihat menjual makanan seafood yang fresh-fresh belaka. Nak dijadikan cerita, famili kakak no.1 dan mertuanya bergerak dengan satu kereta. Manakala saya, emak, famili kakak no.2 dan kakak no.3 dengan satu kereta lagi. Dalam berkira-kira nak makan apa untuk malam nanti, kami pun singgahlah di satu gerai di tepi jalan tersebut. Restoran Santai dot dot dot namanya. Dot dot dot tu nama pemilik gerai tu lah. 

Mula-mula kami melangkah, kami disambut mesra oleh pemilik kedai. Style fresh seafood ini ialah kita pilih mana-mana lauk yang kita nak, dan tukang masak akan masakkan. Sementara yang lain menunggu di dalam kereta, saya dan kakak no.3 memilih ikan kerapu sederhana besar untuk dibakar, sotong 2 3 ekor digoreng tepung, kangkung goreng taucu, nasi putih dan air minuman kesemuanya untuk dibungkus. 

Tunggu punya tunggu, waktu mula-mula memesan makanan, jam dah menunjukkan pukul 6.15 petang, waktu maghrib. Dari awal kami tiba, gerai itu masih tiada pelanggan. Sehinggalah jam 7.30 malam, hati yang sedari awal sejuk tiba-tiba jadi panas. Gerai yang tadinya tiada pelanggan melainkan kami, dah semakin dipenuhi pelanggan. Yang pelik bin hairan, kenapa makanan yang kami pesan masih belum siap, sedangkan mereka yang datang lebih kemudian dari kami, sedang enak menikmati makanan di meja masing-masing. Hampir sejam menunggu, hanya air minuman yang siap dibungkus. Sedangkan nasi putih yang tak sampai 5 minit nak bungkus pun belum nampak di depan mata. Teruslah kakak no.3 bertanya kepada tuan punya kedai, kenapa makanan yang kami pesan belum siap. Jawapan yang diberi, "Makanan yang dipesan, susah sikit nak masak, kena tunggu kejap lagi. " Fuh, berderau jugalah darah ni. Ada ke patut bagi alasan macam tu? Tunggu punya tunggu akhirnya siap jugalah makanan yang kami pesan. Confirm dah blacklist gerai tu. Pada sebelah malam tu, balik dari membungkus makanan, kami tak keluar dah, memandangkan ramai kanak-kanak yang masing-masing keletihan. Maka, lepak-lepak dan tidur awal malam itu.

[Hari 2 - Ahad : Kota Kinabalu - Kundasang]

Pagi itu celik-celik mata, sudah pukul 6. Kebiasaan memang kunci jam hp pukul 6 pagi. Tak tidur lena juga sebelah malamnya, maklumlah sebilik dengan kanak-kanak yang bangun tengah malam nak menyusu + bangun kencing malam.

Selepas subuh, sekitar pukul 7, hari dah cerah, namun mata masih mamai dan mengantuk. Maka ibarat orang mengantuk disorong bantal, terlelap jugak la seketika sebelum masing-masing bangun menunggu giliran untuk mandi. Seperti biasa, kanak-kanak riang tu mandi dalam tab mandi sampai basah-basah, lecak jugak la lantai di luar bilik air.

Rancangan pada hari itu ialah mahu berjalan-jalan lagi di sekitar bandar KK, namun tiba-tiba ipar mencadangkan rombongan kami pergi ke kaki Gunung Kinabalu. Sebelum ke Kundasang, yang mana terletaknya Gunung Kinabalu, kami pusing-pusing juga di bandar KK. Sempatlah ambil gambar di tepi jalan menikmati pemandangan sebahagian bandar KK di tepi laut, memang cantik, Subhanallah.

Bandar Kota Kinabalu di tepi laut, Subhanallah

Aksi dua orang budak lelaki

Sempat lagi...

Cool

Antara tempat yang kami lawati ialah di  Kota Kinabalu Wetland Centre dan Timatch Wetlands Education Centre yang terletak bersebelahan antara satu sama lainBayaran masuk untuk orang dewasa ialah RM5, kanak-kanak pula saya dah lupa. Mulanya saya rasa tiada apa pun yang menarik di sini. Tapi telahan saya ternyata meleset. Menelusuri jambatan kayu yang disediakan di sepanjang perjalanan memang mendamaikan. Dengan ditemani bunyi burung dan unggas, sesekali bau hanyir + hapak air paya bakau yang kuat menusuk hidung, memang terasa diri kita sangat dekat dengan alam. Sempat juga saya ambil gambar-gambar di sekitar kawasan ini. Kalau awak ada kamera DSLR, mesti kena bawa bila ke sini, boleh capture gambar pemandangan dan tumbuhan yang cantik. Saya hanya ada kamera digital Canon Ixus, itulah yang saya gunakan untuk tangkap gambar kat sini.

Kota Kinabalu Wetland Centre dan Timatch Wetlands Education Centre

Subhanallah, cantiknya...

Terjumpa 2 ekor kucing hitam kelaparan dalam wetland tu

Bunga loceng

Bunga seri pagi

Bunga seri pagi

Bunga raya

Kalau belangkas tu hidup, mesti saya dah lari...huhu

Subhanallah, masuk-masuk je cantik sangat

Cantik kan...

Masuk-masuk je nampak kayu api, suka tengok

Sebab suka, snap kat sini banyak kali

Tenang dan damai

Paya bakau

Kira-kira setengah jam kat sana, kami terus ke Suria Sabah (kompleks beli belah). Saya tak beli apa-apa di sini. Lagipun tujuan ke sini adalah untuk makan tengah hari. Kami makan di foodcourt tingkat 3. Memang masakan berlauk memikat selera. Saya teruja makan udang dan sotong celup tepung. Ayam masak lemon pun sedap. Maklumlah seafood kat sini semuanya segar-bugar belaka.

Setelah makan tengah hari dan lepaskan zohor, kami memulakan perjalanan ke Kundasang dengan hanya berpandukan GPS dan keramahan mulut bertanyakan orang-orang di tepi jalan.


(bersambung...)

Friday, July 6, 2012

Peti #35 : Roti Kacang Merah + Air Milo + Susu Tepung Everyday

Assalamualaikum dan salam jumaat semua. Wah-wah-wah, dah 2 minggu saya tak update blog. Saya harap awak-awak semua dalam keadaan sihat walafiat dan ceria selalu. Alhamdulillah 2 minggu kebelakangan ini, hidup saya ok, keluarga pun alhamdulillah ok,  kerja pun alhamdulillah ok. :-)

Hari dah petang, sebenarnya macam tak sesuai bercakap pasal sarapan. Tapi dari pagi tadi dah terfikir nak buat entri ni, cuma pagi tadi tak ada masa nak menaip. Sejak 2 3 menjak ni, asal sarapan je, saya makan roti kacang merah dicicah bersama air milo suam. Sejak dari minggu lepas, saya dah ambil kuantiti roti yang agak banyak. Saya rasa oh sedap-sedap-sedap-sangat-sangat bila cicah roti kacang merah tu dengan air milo suam, bukan roti berintikan kaya, bukan roti berintikan kelapa, bukan roti berintikan coklat, malah jauh sekali roti inti jagung dan inti beri biru. Memang dari kanak-kanak saya dah terminat dengan roti kacang merah. Hatta, kuih pau yang menjadi pilihan saya pun mestilah pau kacang merah. Perisa lain biasanya saya tolak ketepi.


Inilah sarapan pagi sejak 2 minggu kebelakangan ni...


Selain daripada air milo, ada lagi satu kesukaan saya, iaitu minum susu tepung. Bagi orang yang tak minum susu, susu tepung ni bagi sesetengah orang agak meloyakan untuk diminum. Tapi sejak dari kecil, kami adik-beradik memang disuapkan dengan susu tepung oleh mak.


Susu tepung pilihan keluarga kami everyday from Monday to Sunday, Everyday


Sehingga ke hari ni, mak memang kekal dengan susu tepung pilihan kami sekeluarga, Everyday. Saya pun rasa susu tepung Everyday lah yang paling sedap-tak-ingat berbanding susu tepung jenama lain. Ada sesetengah susu tepung tu, tekak saya rasa agak masin, dan ada yang seperti berbau hamis. Tapi susu tepung Everyday memang sedap untuk diminum atau diratah.

Going back to 1990's, apabila mak beli je susu tepung, kak long lah yang akan mengawal susu tepung tu. Kak long saya ni memang hantu susu tepung. Bila kami adik-beradik nak minum susu, mesti kak long yang pegang tin susu tu, kemudian dia akan mencatu setiap sudu susu yang diberikan kepada kami.

Biasanya kalau kami tiada, kak long akan meratah susu tepung tu senyap-senyap tanpa pengetahuan kami. Kalau kami nak meratah susu tepung tu, mesti dapat keizinan kak long terlebih dahulu. Terasa sungguh tidak adil bila kak long sesuka hati meratah susu tepung tu atas tiket dia yang mengawal susu tepung tu. Ada ketikanya, kak long akan menyembunyikan tin susu tu bagi mengelakkan kami meratah susu tanpa pengetahuan dia. Oh sungguh tidak adil dunia ketika itu!

Bancuhan susu tepung untuk diratah dengan rakus!


Sekarang, dah bergaji sendiri. Dah boleh beli susu tepung Everyday sendiri. Kak long sendiri pun masih mengekalkan tabiat meratah susu tepung sampai sekarang. Termasuklah saya. Cara saya ialah saya akan letak susu tepung setengah cawan, kemudian campurkan dengan sikittttttt je air. Lepas tu kacau-kacau-kacau dan meratahlah dengan syoknya. Ahhhh! dah tak sabar nak balik rumah ni, nak meratah susu tepung Everyday puas-puas! :-)