Thursday, May 17, 2012

Peti #24: Fakta Demam

[Peti ini separa panjang]
Assalamualaikum dan selamat petang khamis ye awak-awak semua. Semuanya sihat kan, mudah-mudahan. If ada yang kurang sihat, batuk ke, sakit tekak ke, demam ke, maka hendaklah kamu cepat-cepatlah berubat, pergi beli ubat, atau pergi Klinik 1Malaysia.

Baiklah, saya nak kongsikan serba sedikit fakta tentang demam. Dan di akhir sekali nanti saya selitkan sedikit amalan mengubati demam panas menurut Islam, sangat praktikal dan sangat simple, yang penting kita harus iringi dengan rasa yakin dan mohon belas ehsan pertolongan dari Allah s.w.t yang mencipta kita, yang menyihatkan tubuh badan kita, dan yang mengurniakan sakit kepada kita agar kita lebih mensyukuri segala nikmat-Nya semasa kita sihat.

Oklah, menurut laman web panduanpercuma.info, takrif demam adalah seperti berikut:-


Definisi

Demam adalah satu gejala, bukan penyakit. Ia ditunjukkan sebagai suhu badan yang meningkat luar biasa tinggi. Ia merupakan tanda meningkatnya nilai sasaran termoregulator (pengawalan suhu) badan. Sebenarnya ia adalah satu cara anda melawan penyakit.


Suhu badan yang normal dan abnormal

Purata suhu badan manusia yang normal ialah di antara julat 36 - 37.4 darjah celcius.

Suhu normal di bahagian rektum (faraj) ialah 0.5 - 1.0 darjah celcius lebih tinggi daripada suhu oral (di dalam mulut). 

Suhu ketiak adalah 0.5 - 1.0 darjah celcius lebih rendah dari suhu oral.

Suhu rektum pula adalah lebih tepat daripada suhu oral.

Oleh itu, demam secara amnya merujuk kepada suhu oral melebihi  37.8 darjah celcius, suhu rektum melebihi 38.3 darjah celcius atau suhu ketiak yang lebih tinggi dari 37 darjah celcius. (Jadi sekarang kita sudah faham dan jelas  kenapa termometer untuk check suhu badan biasanya diletakkan di bawah ketiak atau di dalam mulut).

Apabila suhu badan seseorang meningkat lebih daripada 40.0 darjah celcius, rawatan gejala perlulah dilakukan terutamanya jika demam itu berpanjangan. Tetapi jika suhu melebihi 41.0 darjah celcius, demam yang dialami boleh dianggap sebagai kes kecemasan perubatan. (Jadi kita jangan ambil mudah juga tentang demam yang berpanjangan dan suhu badan yang tinggi mendadak).

Menyukat suhu badan 

Sesiapa pun boleh menyukat suhu badan sendiri atau orang lain dengan menggunakan termometer yang bersesuaian. Ingat, semasa sakit, termometer yang sama patut digunakan kerana ketepatan termometer berbeza-beza mengikut jenisnya.

Termometer kaca perlu dibasmi kuman setiap kali sebelum digunakan.

Termometer untuk sukat suhu badan awak masa demam le...

Untuk bacaan suhu yang tepat, kita tidak seharusnya terlibat dalam aktiviti fizikal yang kuat macam berlari atau bersukan, merokok atau minum minuman yang panas atau sejuk 5-20 minit sebelum suhu diambil. 


Apa yang anda boleh buat ketika demam
-Minum air yang banyak terutamanya air kosong untuk menggantikan cecair dan elektrolit yang telah hilang dalam badan.
-Catatkan bacaan suhu badan setiap 2 jam atau ketika terdapat perubahan gejala.
-Lapkan badan dengan air suam dan ambil parasetamol.
-Jangan beri aspirin kepada kanak-kanak atau remaja yang berumur di bawah 20 tahun.


Minum banyak air terutama air kosong masa awak demam okay :-)

Di sini saya ingin kongsikan sedikit amalan yang boleh kita amalkan dalam kaedah pengubatan demam panas menurut Islam. Saya ambil dari buku Indahnya Hidup Bersyariat (Dato' Ismail Kamus & Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid). Selamat beramal :-)


Marilah kita sama-sama amalkannya...:-)


Sekian. Assalamualaikum.

Wednesday, May 16, 2012

Peti #23 : Berbaloi- baloi

[Peti ini separa panjang]
Assalamualaikum semua. harap awak-awak sihat hendaknya.

Dari saya


Saya nak cerita pengalaman saya semasa darjah 1. 

Saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, Temerloh. Sekolah yang terletak berhampiran jugaklah dengan kampung saya. Ok, dipendekkan cerita, semasa saya darjah 1, guru kelas saya bernama Cikgu Maznah. Cikgu Maznah ni ketika itu saya rasa umurnya hampir 40 tahun. Saya seorang budak yang pendiam jugak di sekolah. Cikgu Maznah mengajar subjek Matematik dan Bahasa Melayu. 

Nak dijadikan cerita, saya adalah budak yang lemah dalam Matematik. Satu hari di awal tahun 1991, ketika pelajaran Matematik, Cikgu Maznah bawa bongkah-bongkah kecil yang banyak untuk digunakan dalam pengiraan subjek Matematik pada hari itu. Maka kami murid-murid tahun 1T diberikan bongkah-bongkah tu secara sama rata, adil dan saksama bilangannya untuk setiap orang.

Cikgu Maznah menyuruh kami membuat pengiraan tambah tolak yang sangat kacang, namun amatlah payah bagi saya ketika itu. Cikgu Maznah menulis soalan pengiraan di papan hitam, dan menyuruh kami membuat pengiraan menggunakan bongkah-bongkah tadi. Sambil itu, Cikgu Maznah berjalan-jalan dan memeriksa jawapan setiap seorang dari kami dalam kelas itu. "Oh, bagus Bukhari memang pandai!", "Bagus Fadilah pun betul!" ... Ok,bagus!... Ok, betul!.. Cuba awak kira betul-betul.. Ok, bagus!... Ok, betul! itulah yang terkeluar dari mulut Cikgu Maznah sementara dada saya berdebar dub-dab-dub-dab menunggu beliau tiba di meja saya.

Sekali....... 'Panggggggggggg' ... Rupa-rupanya saya telah berada di angkasa lepas, tapi tak nampak pun UFO, mana planet Namek? Bezita dan Friza pun takde.  Cuma saya lihat dalam samar-samar ada bintang-bintang kecil berpusing-pusing di atas kepala saya. 'Ouchhhhhhh! Sakitnya!!!' hanya kata-kata dalam hati. Sakit tau tak Cikgu kena ketuk dengan pembaris kayu 1 meter tu.

Sampai hati Cikgu Maznah ketuk kepala saya dengan pembaris tu. Saya ni dah la saiznya mini, berbaris dalam barisan kelas waktu perhimpunan tu pun saya duduk di barisan nombor 3 tau Cikgu, nampaknya lepas ni saya kena duduk di barisan depan sekali lah. huhuhuhu...

"Salah yang awak buat ni! Kira semula!" tutur Cikgu Maznah dalam nada yang agak keras. Kasihan saya Cikgu, sudahlah umur 7 tahun, bersaiz mini, diketuk dengan pembaris yang ketinggiannya hampir sama dengan ketinggian badan saya je waktu tu. Hanya air mata aje yang bergenang di kantung mata saya waktu itu.

Peperiksaan akhir tahun Matematik saya, saya dapat Gred A walaupun bukanlah markah 100, tapi saya sangat-sangat berterima kasih sebab Cikgu Maznah la cikgu yang pertama yang memukul saya, walaupun rasanya sakit ketika itu, tapi saya rasa berbaloi- baloi dihentam kepala saya dengan pembaris kayu Cikgu tu. Saya dah tak belajar dengan Cikgu Maznah bila masuk darjah 2 hinggalah tamat darjah 6. Dialah Cikgu kelas saya yang garang, namun sangat berhati mulia. Saya dah tak pernah jumpa Cikgu Maznah lagi selepas saya tamat sekolah rendah. Mungkin beliau pun dah bersara sekarang.

Hari ni semua murid-murid di sekolah bersuka ria, dan guru-guru rasa terharu dapat ucapan Selamat Hari Guru dari anak-anak murid dan bekas anak-anak murid. Ada sekolah yang membuat sambutan Hari Guru hari ni, jadi selamat membuat persembahan ye.

Anak buah saya yang darjah 1, yang sekolah tadika dan pra sekolah juga 2 3 hari sebelum dah sibuk nak bagi hadiah pada cikgu-cikgu diorang. Memang excited semuanya.

16 Mei ialah Sambutan Hari Guru di Malaysia. Setahu saya, negara-negara lain menyambut Hari Guru pada tarikh yang berbeza. Contoh seperti yang saya petik secara rawak dari Wikipedia ialah:-

  • Argentina - 11 September
  • Australia - Jumaat terakhir bulan Oktober
  • Brunei - 23 September
  • Columbia - 15 Mei
  • Hong Kong - 10 September
  • Hungary - Ahad pertama bulan Jun
  • India - 5 September
  • Iran - 2 Mei
  • Indonesia - 25 November
  • Mesir - 28 Februari
  • Mongolia - Minggu pertama bulan Februari
  • New Zealand - 29 Oktober (oh sama harijadi dengan Petimasa lah pulak..hehe)
  • Pakistan - 1 Disember
  • Singapura - Jumaat pertama bulan September
  • Amerika - Meraikan Hari Guru selama seminggu dalam minggu pertama bulan Mei. Menyambut Hari Guru Kebangsaan pada hari Selasa minggu tersebut
  • Thailand - 16 Januari
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru dan jutaan terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mendidik saya, dari saya bersekolah di Tadika Kemas Kampung Pangsenam, Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah Temerloh, Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Temerloh, pensyarah-pensyarah di UiTM Machang Kelantan, dan UiTM Puncak Perdana Shah Alam. Terima kasih sangat2 sebab cikgu-cikgu semua mendidik saya dengan penuh hemah sehingga saya jadi macam saya hari ni.

Selamat Hari Guru juga buat arwah abah, buat kak long dan suaminya, buat sepupu saya dan semua kawan-kawan pendidik di MRSM. :-)

Sekian. Assalamualaikum.

Monday, May 14, 2012

Peti #22 : Indahnya Isnin

Assalamualaikum. Semoga kita semua sihat, dilimpahi rahmat dari Sang Pencipta.

Hari ini kering idea untuk menulis tentang apa. Maka, saya hanya gambarkan keindahan Isnin dengan doodle di bawah. hehehe, saya sempatlah doodle sikit untuk semua. :-)

Semoga kita semua bekerja sungguh-sungguh. Sekarang saya asyik berebut dengan anak-anak buah, saya tengah gila main game Angry Birds, baru sedar diri ni dah ketinggalan zaman. Anak buah saya kata saya Angry Birds warna hitam, yang boleh buat bom tu.  Hehehe...



Dari saya :-)

Thursday, May 10, 2012

Peti #21 : Cahaya Paling Terang

Kamu pernah marahkan saya, hingga lebam dan berbirat punggung saya dipukul getah paip akibat main air banjir.

Kamu masak tiap-tiap hari untuk kami makan, biar jadi cepat besar. Even telur goreng kamu adalah terbaik in the world.

Kamu selimutkan saya bila tengah malam, saya sedar dan dapat rasakannya.

Kamu tak pernah lupa belikan glukos untuk kami semasa kecil, kata kamu, glukos baik untuk tenaga.

Kamu tak jemu-jemu menyental kotoran di pakaian kami, saban hari, saban malam.

Kamu yang menangkan saya bila saya kalah bergaduh dengan kakak dan arwah abang.


Kamu jadi bantal peluk saya bila waktu tidur.

Kamu pernah melarang saya ambil subjek Pendidikan Seni SPM, kamu kata itu bukan yang terbaik buat saya.

Kamu yang saban hari menyeterikakan baju sekolah kami waktu kami kecil.

Kamu belikan saya gaun biru kembang dan sepatu hitam berkilat semasa saya darjah 1.

Kamu pernah menggendong saya meredah banjir untuk ke sekolah.

Kamu tahu tak? Kamulah insan paling tabah di mata kami.



Terima kasih kerana buat hidup kami begitu bermakna.

Terima kasih Allah kerana menciptakan dia terlebih dahulu dari kami.


Sayang mak

Kamu MAK saya yang saya sayang dunia akhirat.
Kamulah CAHAYA PALING TERANG DALAM HIDUP SAYA.
Kamulah insan terakhir yang ingin saya pandang sebelum mata saya terpejam.
Senyuman kamulah ingin saya pandang sebelum nafas saya terpadam.


Dalam bulan May ada Hari Ibu. Entri ini khas untuk Mak saya di rumah.

Peti #20 : Perihal Hati (2) - Sudah Tukar La Sebenarnya Jantung

Assalamualaikum. Hari Rabu ni orang selalu entri pasal Wordless Wednesday kan..kan..kan... Takpelah, lain kali saya buatlah entri Wordless Wednesday. Minggu lepas ada cakap nak cerita pasal hati kan (bukan hati la, jantung sebenarnya). (Klik kat sini). Maka bersempena hari rabu ni saya nak kongsikan hasil carian godek-godek bantuan Tuan Google, maka saya rangkumkanlah sedikit perihal ataupun fakta mengenai hati (dah kata, bukan hati, jantung lah). Jika apa-apa maklumat yang saya paparkan kat sini terdapat percanggahan atau salah, saya tak bertanggungjawab sebab saya pun ambil dari laman web orang aje. saya harap ada yg sudi komen untuk betulkan.

Ok, let's go!

Jantung ni adalah rupa macam bentuk love kan...


Kita ni dah jadi terbiasa bila sebut 'heart' je kita anggap sebagai 'hati'. Tapi sebenarnya, 'heart' bukanlah 'hati' melainkan 'jantung'. Organ tubuh manusia yang bernama "hati" dalam Bahasa Inggeris disebut 'liver'. Contoh kalau sakit jantung, dipanggil 'heart attack', jadi kalau di'Melayu'kan tidaklah bunyinya 'sakit hati' kan...Hehehe...
Ok sudah, itu kekeliruan kecil aja kan!

  1. Jantung orang dewasa berdenyut kira-kira 72 kali per minit; 100,000 kali sehari; 3,600,000 kali setahun.
  2. Dalam satu hari, jantung bekerja mengepam darah sebanyak 15,000 liter.
  3. Denyut jantung janin adalah sekitar dua kali lebih cepat orang dewasa, sekitar 150 denyutan per minit.
  4. Kurang tidur dalam jangka waktu lama dapat menyebabkan denyutan jantung tidak teratur.
  5. Jantung seorang wanita biasanya berdenyut lebih cepat dari jantung seorang lelaki. Jantung dari seorang lelaki secara purata berdenyut sekitar 70 kali per minit, sedangkan rata-rata jantung wanita berdetak 78 kali per minit.
  6. Jantung berupaya menghasilkan tekanan yang boleh memancutkan darah sejauh 10 meter setiap kali ia mengecut. Walaupun ketika seseorang itu berehat, otot jantung bekerja dua kali ganda lebih keras daripada otot kaki seorang yang berlari pecut.


Sumber :
Fakta hebat tentang jantung (www.loveloveislam.com)

Tuesday, May 8, 2012

Peti #19 : Gula-gula getah Murakawa

Gula-gula getah Murakawa (gambaran saya)


Assalamualaikum. Selamat petang selasa kawan-kawan dan pembaca. Saya harap semuanya sihat dan ceria selalu. Minta maaf saya tak dapat menyiapkan cerita pasal Peti #18: Perihal Hati sebab saya tak bawa pensel warna hari ni. Lukisan hari ni pun tak berwarna haaa (maaf dah update, berwarna dah..huhu). InsyaAllah nanti saya ceritakan kemudian.

Masa kecil-kecil, kedai runcit berdekatan rumah adalah rumah kedua. Jadi bila kebetulan ada 20 sen di dalam poket, mesti ke kedai runcit, kalau tak ke kedai runcit ke mana lagi kan? Dan kalau tak beli jajan (cekedis), mestilah beli aiskrim Malaysia atau askrim pop, atau pun gula-gula, lagi satu gula-gula getah (chewing gum). Semasa saya kanak-kanak, kami suka mengunyah chewing gum. Masa itu, tidak tahu pun mengunyah chewing gum itu adalah salah satu senaman mulut selain menjadi mulut murai dan bersedekah senyuman. Jadi kami selalu ke kedai Runcit Abang Man yang dekat dengan rumah sebab nak beli chewing gum.

Salah satu chewing gum yang sangat famous di tahun 90-an ialah chewing gum Murakawa. Pembalutnya ada gambar beruang. Chewing gum ini magik sebab di sebelah dalam pembalutnya ada gambar. Bukan gambar saja-saja dia letak. Tapi awak boleh basahkan gambar tu dengan air atau cara yang keji sikit ialah letak air liur awak dekat gambar tu kemudian tepekkan pada mana-mana bahagian badan. Biarkan kering dalam 1 atau 2 minit, kemudian tarik semula pembalut tu.

Salah satu gambar di sebelah dalam pembalut


Taraaaaa....jadilah tatu tiruan. gambar tu ditekapkan kat atas kulit awak lah...macam tu.Itulah cara saya berseronok masa kanak-kanak. :-)

Sekian. Assalamualaikum.


Friday, May 4, 2012

Peti #18 : Perihal Hati (1)

Assalamualaikum. Cuaca petang Jumaat ni mendung, seakan mahu menumpahkan lautan hujan lebat bila-bila masa saja.

Hati terdetik berkata, mudah-mudahan dalam cuaca tidak menentu, diselamatkan perjalanan kita menuju destinasi masing-masing.

Minggu depan saya akan tulis pasal perihal hati. Mungkin tidak bagus kupasan saya. Saya bagitahu awal-awal lah.



Tunggu aja ye. Sebab kat rumah saya tiada langgan internet. 
Selamat berhujung minggu semua. Rakyat Pahang cuti sampai Isnin ye sebab kami ada Hari Hol. :-)

Sekian. Assalamualaikum.

Peti #17 : Tangkap Berudu

Assalamualaikum, salam Jumaat buat semua.
Sebelum ni saya ada janji nak citer pasal berudu. Sebelum tu, saya bukan nak mengupas perihal hidup berudu ni (salah satu fasa hidup seekor katak), jadi saya harap tiada antara awak- awak yang confuse.

Semasa kecil-kecil, hidup itu sangat-sangat-sangat indah. Awak tahu kan kalau awak hidup di zaman kanak-kanak 70-an, 80-an, 90-an dan sebelumnya, zaman kanak-kanak itu adalah antara fasa kehidupan yang terbaik dan sarat dengan momen melucukan, menggelikan, mengenal jiwa kembara, dan lain-lain rasa.

Dulu masa kecil-kecil, saya ni kiranya agak nakal juga. Arwah abang saya adalah bestfriend saya, maka ke mana ada dia, berkemungkinan di situ juga ada saya. Bila dia main bola, saya memang tak ikut, bila dia mandi sungai, saya jarang-jarang dapat ikut, tapi bila dia buat kembara masuk hutan kecil kat kampung kami, selalunya saya akan escort dia..hehehe...lain-lain aktiviti kat kawasan rumah saya sentiasa menonong ikut dia...
 
Salah satu aktiviti kami masa kecil-kecil ialah tangkap berudu. Kepada yang tak pernah jumpa berudu, atau lihat berudu, bolehlah Google sendiri hehehe. Pada saya, berudu sangat comel. Anak katak yang sebesar jari kuku, bermakna baru bertukar dari berudu pun sangat-sangat-sangat comel. 

 Segalanya ada di sini, longkang di tepi surau...


Kisahnye begini, ada surau terletak berhampiran dengan rumah kami di kampung. Jaraknya kira-kira 100 meter je dari rumah. Bila musim hujan je, saya, abang, dan sepupu yang sebaya akan mandi di dalam longkang di tepi surau tu. Dengar bunyinya macam jijik aje kan. Tapi percayalah air longkang surau tu dikira bersih jugaklah.  Alah standard air Sungai Pahang tu. Hehehe.. Jadi kami semua memang kanak-kanak yang susah nak faham bahasa, dilarang berkali-kali oleh emak pun tetap nak mandi dekat longkang tu. Jadi kalau musim hujan, kami tak lekat di rumah, emak dah tahu kami mesti ada di longkang tepi surau tu.

Dari mula hujan turun, hinggalah hujan sidang (reda), kami mulakan aktiviti berenang tipu-tipu dalam longkang tu. Berenang tipu- tipu tu ialah meniarapkan badan di dalam air, dan tangan awak tu buatlah gaya berenang kuak lentang ke, kuak kupu-kupu ke, gaya bebas ke. Bukan apa, air longkang tu dalamnya separas lutut budak enam tahun je bila musim hujan. Kadang-kadang bila hujan waktu asar, para jemaah yang lalu-lalang nak bersembahyang kat surau pun kami tak hirau. Bila ditegur, kami hanya sengih macam kerang busuk aje..tegar sungguh..Huhuhu...

Satu keminatan saya dan arwah abang ialah menangkap berudu. Kadang-kadang sepupu saya pun akan ikut tangkap berudu juga. Di dalam longkang tu biasanya banyak berudu. Berudu ni suka berenang di tepi-tepi longkang yang cetek tu. Jadi amat mudah kami menangkap berudu-berudu tu untuk dibuat main. Kadang-kadang kami seluk tangan ke dalam air dan kemudian letak sedikit air di dalam baju. Kemudian tangan-tangan kecil kami ni mulalah mencelup-celup ke dalam air dan menggenggam tangan yang berisi berudu-berudu kecil. Sangat comel.


Inilah saat-saat indah menikmati berudu-berudu berenang dalam baju...huhuhu


 Gambaran kecomelan berudu berenang-renang di dalam baju. Hehehe...


Adakalanya, kami bawa beg plastik dari rumah, diisi dengan air dan letakkan berudu-berudu tersebut ke dalam plastik yang ditebuk sedikit lubang udara. Bekalan berudu kami sambung main di rumah. Itulah cara kami bermain dengan alam.

 Bekalan berudu di bawa pulang ke rumah


Sangat seronok walaupun berkali-kali dileteri dan dimarahi emak, atuk dan nenek, namun kami tetap seronok dengan mainan kami. Bila dah bosan dengan berudu tu, kami akan lepaskan semula. Selalunya petang hari yang sama juga kami lepaskan berudu tu, sebab arwah atuk cakap, tak baik seksa binatang, lagipun nanti berudu tu jadi katak, jangan simpan lama. :-)

Sekarang saya rasa kanak-kanak pun hanya lihat gambar berudu dalam buku teks Sains. Jadi beruntunglah kalau awak adik-adik yang dapat lihat berudu secara life. Hehehe..Inilah salah satu permainan saya masa saya kecil-kecil. Seronok bukan!.  :-)

Sekian. Assalamualaikum.